Tuesday, September 28, 2010

Ayam Serama Jana Pendapatan

KUALA LUMPUR - Siapa sangka ayam Serama yang selama ini dianggap sekadar untuk menyertai pertandingan mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara komersial.

Bagi Ahmad Fauzi Mohamed, spesies burung yang memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri itu telah menjadikan beliau digelar sebagai usahawan ayam Serama Malaysia melalui syarikat yang diusahakannya, Kedai Serama Malaysia di Ampang Water Front, Ampang dekat sini.

Melaluinya, beliau yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak dua tahun lalu dengan bermodalkan kira-kira RM200,000 kini mampu meraih hasil jualan ayam Serama di antara RM30,000 sehingga RM40,000 sebulan.

Turut menjana pendapatan syarikat ialah segmen penjualan peralatan dan aksesori ayam Serama termasuk ubat-ubatan dan makanannya yang dianggarkan bernilai sehingga RM15,000 setiap bulan.

Lebih menarik lagi, daya tarikan utama perniagaannya itu ialah beliau turut menternak ayam Serama di dalam kedainya.

"Kami memiliki sebanyak 500 ekor ayam Serama (di Kedai Serama Malaysia) yang meliputi anak Serama, Serama remaja dan Serama dewasa," katanya yang merupakan Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn. Bhd. ( Serama Corporation).

Kedai Serama Malaysia merupakan salah satu cabang perniagaan Serama Corporation.

Berhubung tawaran penjualan ayam Serama, Ahmad Fauzi berkata, bagi kategori anak ayam Serama ia ditawarkan pada harga RM250 sehingga RM350 sepasang manakala bagi kategori remaja pula harganya di antara RM800 sehingga RM1,500 seekor.

Untuk kategori dewasa pula, harga permulaan adalah serendah RM1,000 seekor dan mampu mencecah sehingga RM40,000 seekor.


Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, syarikatnya turut mengeksport ayam Serama dan telur ayam Serama Malaysia ke beberapa buah negara antaranya Kepulauan Maldives, negara-negara Arab Bersekutu (UAE), Belanda, Korea, Taiwan dan China.

RM2 juta untuk pusat servis baru

KUALA LUMPUR - MB Assyst Benz Services Sdn. Bhd. (MB Assyst) bakal melabur kira-kira RM2 juta untuk membuka sebuah lagi pusat servis, alat ganti dan sistem kenderaan Mercedes-Benz di Seri Kembangan dekat sini dalam tempoh dua tahun akan datang.

MB Assyst merupakan syarikat usahawan automotif miliki bumiputera sepenuhnya yang telah memulakan operasi sejak bulan Ogos 2004 dan kemudian diperbadankan menjadi syarikat sendirian berhad pada bulan Mei 2006.

Pusat itu akan menjadi lokasi terbaru MB Assyst untuk melaksanakan kerja-kerja membaiki dan menyelenggara kenderaan penumpang termasuk pemeriksaan komputer unit kawalan elektronik (ECU) model Mercedes-Benz.

Turut dilengkapi di premis baru itu ialah dua set sistem pemeriksaan berkomputer untuk model kenderaan Mercedes-Benz dan BMW serta peralatan lain yang melibatkan tambahan pelaburan sebanyak RM1 juta.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nazri Hood berkata, buat masa ini, syarikatnya sudah memiliki sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan itu yang terletak di Bandar Putra Permai di sini.

Kosmo! difahamkan bengkel sedia ada di Bandar Putra Permai yang dikhaskan untuk membaikpulih dan servis model Mercedes-Benz menerima kira-kira 50 buah kenderaan setiap bulan.

"Pembukaan premis terbaru ini bertujuan untuk kami mengembangkan operasi perniagaan sedia ada serta menampung peningkatan kapasiti kenderaan pelanggan yang diterima di cawangan di Bandar Putra Permai," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Selain pusat servis tersebut, MB Assyst turut memiliki dua pusat membaiki dan servis semua jenis kenderaan penumpang masing-masing di Taman Lestari Perdana, Puchong dan di Bandar Pinggiran Subang di Shah Alam, Selangor.

Mengulas lanjut mengenai pusat terbaru itu, beliau berkata, sebuah akademi akan dibuka ditingkat atas bangunan berkenaan untuk menawarkan kursus membaik pulih model kenderaan Mercedes-Benz kepada pelajar yang berminat.

"Akademi itu dijangka memulakan sesi pengajian apabila bengkel baru itu beroperasi perniagaan dan kursus yang diadakan nanti berbentuk latihan praktikal selama dua tahun bagi setiap sesi," jelasnya.

Kata Nazri, peserta yang ingin menyertai kursus anjuran MB Assyst perlu menjalani temu duga dan mereka yang memiliki kelulusan daripada Institut Kemahiran Mara atau mempunyai latar belakang dalam bidang automobil digalakkan memohon.

Setiap pengambilan peserta kursus dihadkan di antara 20 orang sehingga 50 orang setiap sesi bertujuan memastikan tumpuan diberikan secara optimum.

Sumber: Kosmo!

Sunday, August 29, 2010

Hamper Hari Raya Secret Garden serendah RM15

KUALA LUMPUR - Anda mahukan sesuatu kelainan dalam pemberian hamper bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini?

Jika benar, The Secret Garden The Shop yang terletak di Ara Damansara di sini mungkin memenuhi keinginan anda itu kerana premis tersebut menawarkan rangkaian hamper dan koleksi hadiah eksklusif berupa produk kecantikan Secret Garden.

Pengarah Urusan The Secret of Secret Garden Sdn. Bhd. (Secret Garden), Mohammad Razin Mohamat Noor berkata, tawaran terbaru itu disasarkan kepada individu dan juga syarikat korporat.

"Rangkaian hamper dan koleksi hadiah Hari Raya Aidilfitri ini ditawarkan pada harga antara RM15 sehingga RM350 setiap set.

"Setiap set hadiah akan dibungkus bersama rangkaian produk penjagaan diri Secret Garden bersama barangan lain seperti buah kurma dan biskut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Secret Garden The Shop di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hamper dan hadiah eksklusif turut disediakan bagi majlis perayaan, majlis perkahwinan, majlis hari jadi dan lain-lain berdasarkan permintaan pelanggan.

Berhubung sasaran jualan produk hamper dan hadiah eksklusif Secret Garden, Mohammad Razin mengunjurkan jualan di antara RM200,000 dan RM300,000 sepanjang bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pihaknya sedia bekerjasama dengan pemilik perniagaan atau usahawan dalam menjalinkan usaha sama untuk pemasaran barangan Secret Garden.

Katanya, usahawan hanya memerlukan modal serendah RM500 untuk memulakan perniagaan tersebut.

Sumber: Kosmo!

AF Creative tawar khidmat penjenamaan, pembungkusan

KUALA LUMPUR - Reka bentuk dan corak pembungkusan sesuatu produk atau barangan memainkan peranan penting dalam memastikan produk berkenaan mendapat tempat dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Menyedari kepentingan aspek itu, Pengasas AF Creative Resources (AF Creative), Amir Fauzi Hod telah menubuhkan sebuah entiti perniagaan yang menawarkan khidmat reka bentuk produk khas kepada golongan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negara ini pada kadar mampu milik.

Beliau menerusi syarikatnya, telah menghasilkan lebih 100 jenis reka bentuk produk pembungkusan barangan untuk setiap peringkat perniagaan termasuk konglomerat sehingga ke usahawan kecil-kecilan.

"Penjenamaan dan pembungkusan produk adalah penting bagi PKS kerana ia memainkan peranan secara langsung dalam meningkatkan saluran pemasaran agar lebih efektif dan diterima pasaran.

"Malah pembungkusan yang menarik juga akan meningkatkan keyakinan seseorang pembeli terhadap sesuatu produk itu," katanya yang juga merupakan Pengarah Kreatif AF Creative kepada Kosmo! baru-baru ini.

Berhubung dengan kesedaran PKS terhadap kepentingan kualiti pembungkusan, Amir Fauzi berkata, tahap kesedaran mengenai perkara di kalangan pengusaha PKS masih rendah.

"Antara punca yang menyebabkan perkara ini terjadi ialah pengusaha itu berasa kurang yakin atau kurang memahami kepentingan sesuatu pembungkusan.

"Selain itu, ada juga pengusaha yang tidak tahu cara untuk mendapatkan pembungkusan yang baik dan beranggapan ia melibatkan kos yang tinggi," jelasnya.

Bagi membantu pengusaha terbabit, AF Creative hanya mengenakan bayaran serendah RM1,000 bagi perkhidmatan penghasilan pembungkusan yang meliputi khidmat nasihat pemasaran, ciptaan logo produk, reka bentuk pembungkusan produk dan fotografi.

Selain itu, syarikat itu turut menawarkan khidmat percetakan pembungkusan dan pengiklanan produk berdasarkan keperluan pelanggan.

Sumber: Kosmo!

Ikan marin jana sumber pendapatan


SHAH ALAM - Perniagaan hiasan hidupan marin bukan sahaja berpotensi malah ia menjanjikan sumber pendapatan yang menarik iaitu di antara RM10,000 sehingga RM15,000 sebulan.

Disebabkan faktor tersebut, Zarifah Abdul Aziz yang sebelum ini berkecimpung dalam perniagaan menjual ikan-ikan hiasan lebih daripada satu dekad lalu beralih arah kepada cabang perniagaan tersebut sejak beberapa tahun lalu kerana permintaan terhadap ikan hiasan marin dan karang semakin bertambah.

Lebih menarik lagi, beliau turut menawarkan khidmat tempahan set akuarium lengkap untuk hidupan marin, landskap taman dan akua marin, bagaimanapun perniagaan terhadap pelbagai ikan hiasan yang diterokainya sebelum ini tidak dipinggirkan.

"Permintaan terhadap hidupan ikan marin dan karang semakin meningkat.

"Disebabkan faktor tersebut, kami mengalihkan portfolio perniagaan kami kepada hidupan marin iaitu hampir 80 peratus dan bakinya pula untuk cabang perniagaan ikan hiasan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menjawab pertanyaan mengenai perniagaan tersebut melibatkan kos yang tinggi, Zarifah berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan seseorang itu menguruskan minatnya.

Sumber: Kosmo!

Kotak hiasan korporat eksklusif


KUALA LUMPUR - Se
rama Corporation Sdn. Bhd. (Serama Corporation), entiti perniagaan yang mempromosikan ayam serama sebagai ikon negara kini menawarkan rangkaian kotak hiasan korporat dengan ciri-ciri kesenian yang eksklusif.

Rangkaian produk yang dipromosikan di bawah jenama Serama Malaysia itu merupakan kotak cenderahati pelbagai rupa yang dihasilkan menerusi seni ukiran tangan.


Pengarah Urusan Serama Corporation, Ahmad Fauzi Mohamed berkata, setiap kotak yang dihasilkan itu mempunyai cerita sejarah dan seni ukiran yang berbeza mengikut kehendak pelanggan.


"Setiap kotak hiasan akan memiliki kira-kira 70 peratus daripada hasil seni ukirannya dan Serama Corporation akan mereka bentuk kotak tersebut terlebih dahulu sebelum dihantar ke Indonesia untuk proses pengilangan.


"Setiap aspek dalam kotak hiasan akan memiliki ciri-ciri tradisional tersendiri sama ada melalui reka bentuk ukiran tradisional atau moden seperti songket, batik, biji tamar, jewel of samara, royal heritage dan sebagainya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Kraf Serama Malaysia di sini baru-baru ini.


Buat masa ini, majoriti pelanggannya terdiri daripada korporat, peminat seni tempatan dan antarabangsa serta pengunjung negara luar.

Produk Serama Malaysia turut menerima tempahan daripada pelanggan dari negara Jepun, Singapura dan juga Dubai.


Mengulas lanjut mengenai perniagaan kotak hiasan dan cenderahati Serama Malaysia, Ahmad Fauzi berkata, ia merupakan satu cabang perniagaan yang agak baru bagi Serama Coroporation.

"Kami mula mengeluarkan kotak hiasan eksklusif dan cenderahati ini pada September lalu di cawangan Perbadanan Kraf Tangan Malaysia dan kemudiannya membuka sebuah Galeri Kraf Serama Malaysia di sini," katanya.


Galeri Kraf Serama Malaysia merupakan butik pameran Serama Corporation yang mempamerkan kira-kira 250 jenis produk dan kotak hiasan unik dan eksklusif yang mana ia dihasilkan melalui 13 motif rekaan serta 10 rekaan batik.


Produk berkenaan ditawarkan pada harga di antara RM50 sehingga RM12,500 setiap satu.


Berhubung sambutan terhadap kotak eksklusif Serama Malaysia, Ahmad Fauzi berkata, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan sejak diperkenalkan di pasaran.


"Kami menerima kira-kira 20 pelanggan setiap bulan dan ada kalanya terpaksa menunda tempahan ke tarikh lain disebabkan kepadatan jadual pengeluaran.


"Setiap tempahan mengambil masa di antara 30 sehingga 45 hari untuk disiapkan kerana ia membabitkan seni ukiran tangan," katanya yang menggunakan khidmat 18 tukang ukir untuk pengeluaran.


Serama Corporation telah melabur sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan produk yang mengambil masa selama enam bulan serta tambahan RM100,000 untuk peralatan ukiran.

Syarikat turut memperkenalkan sekurang-kurangnya lima rekaan baru setiap bulan dan mampu meraih pendapatan di antara RM100,000 sehingga RM200,000 setiap bulan menerusi dua galerinya.

Sumber : Kosmo!

Monday, June 21, 2010

Vita Cat halal untuk kucing


Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Produk halal bukan terhad kepada kegunaan harian pengguna tetapi ia cukup meluas sehingga membabitkan haiwan peliharaan khususnya kucing dalam aspek pengambilan makanan dan minuman haiwan berkenaan.


Jika perkara ini dipandang remeh, kesannya terhadap si pemelihara haiwan berkenaan amat besar terutamanya dalam aspek hukum halal dan haram.


Mengatasi kebimbangan masyarakat terhadap permasalahan tersebut, seorang usahawan telah membuat kajian selama dua tahun dalam bidang berkenaan dan telah berjaya membangunkan produk makanan kucing halal yang dikenali sebagai Vita Cat.


Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Edaran Vita Cat Sdn. Bhd. (Edaran Vita), Halim Baba berkata, pendekatan halal diberikan kepada produknya khusus dalam penggunaan bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan berkenaan.


Bahan mentah yang digunakan syarikatnya ialah nasi, ikan kembung, akar pokok kucing dan minyak Omega 3 dari telur ayam.


“Kebanyakan produk import makanan kucing berada di pasaran tempatan diimport dari Thailand.


“Malah ada jenama terkenal bahan makanan itu yang dibawa masuk dari negara jiran itu menggunakan perut khinzir dalam penghasilannya namun ia tidak dinyatakan secara jelas pada pembungkusan produk tersebut,“ dakwanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! pada Ekspo Beli Barangan Malaysia yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini baru-baru ini.


Gerai pameran Edaran Vita Cat menjadi tumpuan pada hari perasmian ekspo berkenaan ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membeli seekor kucing parsi comel yang berusia tiga bulan.


Selain itu, Halim berkata, produk makanan haiwan peliharaan halal dijangka mendapat permintaan yang tinggi seiring dengan potensi industri berkenaan yang mana nilai importnya dianggarkan bernilai RM180 juta setahun.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan, Edaran Vita Cat ditubuhkan di Kedah pada tahun 2006 dengan memiliki sebuah kilang yang memiliki kapasiti pengeluaran sehingga tiga tan sehari.


``Kami mula menghasilkan produk dengan jenama Vita Cat secara komersial pada tahun 2008 dalam bentuk palet dan dijual pada harga RM5.99 untuk pek 500 gram.


``Buat permulaan, produk kami dipasarkan di negeri-negeri utara Malaysia dan kini ia telah diperluas ke seluruh negara,'' jelasnya sambil menambah Vita Cat dipasarkan melalui beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara.


Bermula awal tahun ini, Edaran Vita Cat telah memperkenalkan pek baru lebih besar iaitu 1.5 kilogram yang ditawarkan pada harga RM13.99 dan juga makanan kucing dalam tin pada harga RM3.99 setin.

Produk berkenaan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Indonesia, India, Brunei dan Dubai.

Selain itu, syarikat turut terlibat dalam bidang penjualan pelbagai baka kucing dan ia boleh didapati di tiga buah kedainya yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah dan di Jalan Sekolah, Kangar, Perlis.


Sumber : Kosmo!

Thursday, June 17, 2010



Berpeluh Hirup Sup

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM

SEBELUM ini, Sabul Ismail, 38, merupakan seorang penjual jam tangan di Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Namun kini dia merupakan seorang usahawan berjaya dengan memiliki Restoran Sup Ketin UK bertempat di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi, Selangor.

Restoran anak kelahiran Terengganu itu menyediakan pelbagai jenis masakan kampung, moden dan juga Barat. Satenya juga tidak kurang sedapnya.

Tidak hairanlah jika ia menerima lebih 500 orang pelanggan setiap hari.Dijana oleh 20 orang pekerja serta 30 buah meja makan, restoran itu dibuka dari pukul 8 pagi hingga 1 pagi setiap hari.

Suasana di restoran itu sahaja sudah cukup membuatkan pelanggan teruja. Seakan-akan sebuah kopitiam yang diselangi potret gambar menarik di dinding, hidangan masakannya dibuat secara terbuka.

Mengapa namanya Restoran Sup Urat Ketin?" Sebenarnya buntu saya memikirkan nama restoran ini. Tiga hari saya tidur lewat kerana ingin mencipta kelainan untuk menarik pelanggan. "Setelah puas berfikir akhirnya datang ilham.

Saya rasa sup keting ('Ketin' dalam dialek Kelantan) merupakan nama terbaik. Anda pelik mendengar namanya, bukan? Sebenarnya yang pelik itulah yang menjadikan orang tertarik," katanya ketawa.

Sup keting merupakan salah satu menu makanan popular yang terdapat di restoran milik Sabul. Keting ialah urat kaki lembu berwarna putih dan disaluti lemak.

Ia perlu direbus untuk mengasingkan lemaknya. Menu ini amat popular di negeri Kelantan terutama pada Hari Raya Haji.

Malah keting juga boleh dimasak gulai lemak, kerabu dan goreng. "Saiz keting yang sesuai untuk dibuat sup ialah tiga sentimeter panjang dan satu sentimeter tebal.

"Stok diambil daripada pembekal yang mengimportnya dari New Zealand dan Australia. Sebanyak 30 kilogram urat keting boleh dimasak di dalam sebuah periuk besar," katanya.

Menurut Sabul, dalam sehari beliau dapat menjual lebih 100 mangkuk sup keting yang berharga RM6 setiap satu.Antara pelanggan yang selalu datang untuk menikmati sup keting Sabul ialah pakar motivasi Datuk Dr. Mohd. Fadzilah Kamsah dan Kid (Hamzah Mohd. Taib), bekas anggota kumpulan Search.

"Mereka datang sekurang-kurangnya seminggu sekali. Tetapi saya tidak pula bertanya pada Dr. Fadzilah mengenai rahsia makan sup khususnya bagi orang lelaki," katanya sambil ketawa.

Sabul juga berkongsi rahsia menyediakan sup keting yang lazat. "Ramuan untuk membuat sup keting sama seperti membuat sup tulang, sup ekor dan sup gearbox.

"Rempah ratusnya termasuk jintan, kayu manis, bunga lawang, bawang putih, bawang besar, halia dan kayu manis. Semuanya perlu diadun dan direbus bersama selama empat jam.

"Jangan pelik kerana untuk membuatnya perlu ada dua rebusan berbeza, satu rebusan tulang lembu dan satu lagi urat keting bagi membuang lemaknya.

" Apabila telah cukup tempoh rebusan, kedua-dua air rebusan tadi digabungkan sebelum ditambah gula dan garam. Sup ini juga digemari ramai orang Cina," katanya.

Shahdan Yusof, 29, seorang kontraktor, berpendapat sup keting dapat memberikan beliau tenaga tambahan.

"Saya kerap berpanas di tapak projek, jadi sup keting dapat memberikan saya 'kuasa' tambahan. Kebiasaannya saya makan sup ini tiga kali seminggu di sini," ujarnya.

Dengan peluh mengalir di dahi ketika dia menghirup sup dan mengunyah urat keting. Syahil Siadan, 28, ada pendapat sendiri mengenai sup itu.

"Saya berasal dari Kota Bahru, Kelantan. Kebiasaannya sup keting hanya menjadi menu utama ketika Hari Raya Haji. Kini ia dapat dinikmati setiap hari.

"Saya tidak perlu lagi pulang ke Kelantan kerana di Selangor pun ada sup keting," katanya berjenaka.

Sumber : Kosmo!

Monday, June 14, 2010

Mohd. Chan Abdullah popular di Lembah Klang

BANGI – Kesukaran untuk menikmati masakan Cina halal bersama keluarga di restoran telah membuka lembaran baru dalam hidup seorang pembekal air soya, Mohd. Chan Abdullah membuka restoran Cina Muslim yang popular di be berapa lokasi strategik di Lembah Klang.

Rangkaian restoran itu telah dibuka buat pertama kalinya di Bukit Beruntung, Selangor pada tahun 2006.

Kini, empayarnya telah bertambah ke pada lima premis termasuk di Bukit Beruntung, Kelana Jaya, Taman Melawati, Wangsa Maju, Kuala Lumpur dan yang terbaru di Bandar Baru Bangi di sini.

“Cawangan terbaru ini menawarkan sebanyak 100 jenis masakan Cina Muslim halal dan semua makanan ini disediakan khas oleh chef keturunan Cina Muslim tempatan,” kata Mohd. Chan ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Turut hadir pada sesi temu bual itu ialah anaknya, Mohd. Nik Chan.

Premis yang terletak di Jalan Medan 2C, Seksyen 9 di Bandar Baru Bangi itu membabitkan jumlah pelaburan kira-kira RM280,000 yang meliputi pengubahsuaian termasuk penyediaan sebuah surau dan pembelian peralatan dan mesin.

Menurut beliau, rangkaian restorannya yang lain turut menyediakan kemudahan surau untuk para pelanggan.

Mengulas lanjut, Mohd. Chan berkata, pembukaan rangkaian restorannya itu telah berjaya memenuhi permintaan peminat masakan Cina Muslim bukan sahaja daripada kumpulan berkenaan tetapi juga daripada masyarakat bukan beragama Islam.

Ditanya mengenai rancangan untuk mengembangkan lagi rangkaian restorannya melalui konsep francais pada masa depan, beliau belum memikirkan untuk mengubah konsep perniagaan ter sebut tetapi berharap legasi perniagaan itu akan diwarisi secara turun temurun oleh generasinya.

Ini dapat dilihat daripada penceburan anak-anaknya ter masuk Mohd. Nik yang menguruskan beberapa rangkaian restoran sedia adanya.

Mengulas mengenai pembukaan cawangan baru, Mohd. Nik berkata, dijangkakan lima cawangan dibuka pada tahun hadapan.

Antara lokasi cawangan terbaru yang dikenal pasti ialah di Shah Alam, Taman Tun Dr. Ismail dan Cheras.

Sumber: Kosmo!


Produk terbaru Upin dan Ipin

KUALA LUMPUR - Peminat kartun animasi tempatan, Upin dan Ipin kini boleh menambah koleksi peribadi mereka yang berlatar belakangkan watak popular itu dengan mendapatkan produk terbarunya dalam segmen koleksi penjagaan diri.

Wonderland Primary Sdn. Bhd. (Wonderland Primary), telah memperkenalkan empat jenis produk berupa syampu, krim mandian, losyen badan dan pembersihan diri daripada hujung kaki hingga ke kepala itu yang diperkaya dengan daun lidah buaya serta vitamin E.

Produk yang sudah berada di pasaran melalui beberapa pasar raya besar dan farmasi di seluruh negara itu dijual pada harga di antara RM13.90 sehingga RM16.90 seunit.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Wonderland Primary, Leny Herlina, pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan Les' Copaque Productions Sdn. Bhd. untuk mendapatkan hak kebenaran menggunakan watak kartun itu dalam semua produk keluarannya pada bulan Disember tahun lalu selama 30 bulan.

"Melalui perjanjian itu, kami dibenarkan untuk mengeluarkan 12 jenis produk lagi dalam segmen berkenaan seperti minyak bayi, cucian tangan dan lain-lain yang berlatar belakang Upin dan Ipin. Ia akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.

"Kami sangat teruja dengan produk ini kerana ia bakal menerima sambutan menggalakkan daripada peminat kartun tersebut bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tetapi juga ibu bapa,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada sesi temu bual itu ialah Pengurus Komunikasi Pemasaran, Jaszmyn Leong serta Pengurus Jualan dan Perkhidmatan, Joey Lim.

Wonderland Primary yang telah ditubuhkan pada tahun lalu itu mengunjurkan jualan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini.

"Kami optimis terhadap pengembangan syarikat pada tahun kedua nanti kerana keuntungan jualan bakal dijana memandangkan penguasaan pasaran yang semakin meluas,'' jelas beliau.

Leny menerangkan, antara keunikan produk keluaran syarikatnya itu bebas daripada SLES atau SLS dan PARABEN yang mana ia boleh mengakibatkan kegatalan pada kulit dan mata.

Mengulas lanjut mengenai rangkaian pemasarannya, beliau mengalu-alukan penglibatan pengedar utama dan runcit untuk mempromosikan produk ini bagi meluaskan lagi rangkaian pasaran sedia adanya.

Siswazah raih RM40,000 sebulan

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Bukan mudah menjalankan perniagaan selepas tamat pengajian di universiti namun pemilik perniagaan coklat, Nazirah Mohd. Noor kini mampu tersenyum setelah meraih jualan sehingga RM40,000 sebulan.

Nazirah, 33, yang memiliki butik Chocolates Circle di Shah Alam City Centre Mall di sini menjelaskan, minat dan disiplin tinggi penting bagi memastikan usahawan siswazah berjaya dalam perniagaan.

"Saya berpegang kepada prinsip 'cuba dan gagal' dalam mengusahakan perniagaan. Saya akan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan setiap masalah operasi yang timbul," kata graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Utara Malaysia itu.

Butik yang beroperasi sejak Ogos 2005 itu digerakkan menerusi pinjaman RM100,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bagaimanapun ia habis dibayar dalam tempoh tiga tahun.

Kata Nazirah, idea untuk mengusahakan perniagaan produk coklat itu tercetus apabila beliau terkandas ketika menunggu pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2003.

"Setelah mendapat idea, saya menjalankan kajian mengenai produk dan industri coklat, struktur demografi Shah Alam serta kecenderungan pasaran dan permintaan pengguna," jelasnya.

Premis yang diusahakan Nazirah hanya berukuran 21 meter persegi tetapi ia mempunyai lebih 15 jenama produk coklat jenama antarabangsa dan tempatan.

Sebanyak 80 peratus daripada produk yang dijualnya adalah produk import dari pelbagai negara.

Chocolates Circle menyediakan hampir 500 jenis perisa coklat dan ia dijual dengan harga bermula RM1 sehingga RM79.

"Sebanyak 70 peratus pelanggan kami terdiri daripada syarikat-syarikat korporat dan agensi kerajaan yang menempah coklat sebagai hadiah atau cenderahati.

"Bakinya membabitkan pemberian hadiah menggantikan bunga telur pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu," jelasnya.

Pada tahun pertama beroperasi, Chocolates Circle mampu meraih pendapatan jualan sekitar RM20,000 sebulan dan meningkat kepada hampir RM40,000 sebulan.

"Jualan luar biasa lazimnya dicatatkan pada musim-musim perayaan atau pada sambutan-sambutan khusus.

"Catatan tertinggi jualan ialah kira-kira RM49,000 dan sasaran pada tahun ini ialah cuba mengekalkan pendapatan jualan sekitar RM50,000 sebulan," katanya.


Sumber : Kosmo!

Burung kakak tua bawa keuntungan lumayan

KUALA LUMPUR - Parrot Farm Enterprise (Parrot Farm) bercadang untuk mendirikan sebuah ladang ternakan dan pembiakan burung di negara ini kerana memiliki prospek pelaburan yang baik.

Menurut Pengarah Operasinya, Shek Nizam Shek Mamad, ladang tersebut yang dijangka membabitkan kos hampir RM1 juta itu mampu membawa keuntu- ngan kira-kira RM15,000 sehingga RM20,000 sebulan.

Katanya, ladang ternakan dan pembia- kan tersebut perlu dibangunkan secara komersial kerana permintaan daripada peminat haiwan peliharaan itu bertambah setiap tahun.

"Kami akan memfokuskan kepada pembiakan burung kakak tua daripada spesies African Gray kerana memiliki permintaan yang tinggi yang mana bagi setiap burung jenis itu akan dicari oleh 20 orang peminatnya,'' katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, burung ini semakin popular kerana ia merupakan spesies haiwan peliharaan yang bijak, kekerapan membiak dengan bertelur sebanyak tiga kali setahun dan lebih menarik lagi ia tidak memerlukan sebarang permit atau lesen daripada mana-mana pihak berkuasa.

"Sepasang African Gray boleh menghasilkan antara dua hingga tiga biji telur setiap kali bertelur dan seekor anak burung itu boleh dijual pada harga mini- mum RM2,000 seekor.

"Apabila anak burung itu dewasa, nilainya semakin bertambah sehingga mencecah kira-kira RM4,000 sehingga RM6,000 sepasang bergantung kepada nilai harga yang ditawarkan oleh penjual.

Menurutnya, harga sepasang burung kakak tua spesies ini selalunya ditentu- kan oleh habitatnya yang lebih segar seperti di ladang berbanding di kedai jualan haiwan peliharaan yang membuatkan binatang itu agak tertekan dan sukar untuk bertelur,'' jelasnya.

Selain African Gray, Shek Nizam menjelaskan, spesies burung kakak tua yang lebih besar seperti Blue and Gold Wing Macaw juga memiliki nilai yang tinggi.

"Baru-baru ini kami berjaya membiakkan seekor anak burung masing-masing daripada jenis tersebut dan sudah ada pembeli yang menempahnya dengan harga RM12,000 seekor,'' ujarnya.

Sementara itu, Shek Nizam berkata, selain berpotensi menjadi pusat pelanco- ngan, Parrot Farm telah menjadi pusat rujukan dan kajian di kalangan pelajar jurusan veterinar dari Universiti Putra Malaysia.

Parrot Farm yang beroperasi sejak 2002 dan terletak di Taman Sri Gombak di sini kini mempunyai kira-kira 25 spesies burung kakak tua seperti Eastern Rosella, Green Wing Macaw, Cockatoo, Amazon Blue Forted dan Orange Wing.



Sumber : Kosmo!

Sunday, June 13, 2010


Mior tawan projek buluh RM14.6 juta

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Siapa sangka pokok buluh di negara ini berpotensi dan dapat memberikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara komersial.

Bagi Mior Shariman Moksin, ia bukan sekadar pokok biasa tetapi ia memiliki keistimewaan yang mampu menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya dalam industri tersebut.

Ini dibuktikan dengan kemampuan syarikatnya, Istana Bambu Sdn. Bhd. (Istana Bambu) yang sedang membangunkan tiga buah resort dan enam buah restoran berasaskan buluh yang bernilai RM14.6 juta.

Lebih menarik lagi satu daripada resort berkenaan terletak di Narathiwat, Thailand.

Istana Bambu turut terlibat dalam pengeluaran perabot, kraf tangan dan pembangunan kediaman berasaskan buluh.

Antara perabot yang dihasilkan ialah set sofa, meja makan, almari pakaian, katil dan bilik tidur dengan rekaan moden kontemporari dan Eropah.

"Jualan bagi perabot buluh kami turut mendapat sambutan yang menggalakkan dan untuk tempoh suku pertama tahun ini, syarikat telah berjaya mencatat jualan sebanyak RM2.1 juta untuk pasaran tempatan dan eksport ke Perancis," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mengimbau sejarah penglibatan Mior Shariman di dalam perniagaan tersebut, beliau sanggup menjual salah sebuah resortnya di Port Dickson, Negeri Sembilan tiga tahun lalu untuk berhijrah ke beberapa negara di Asia Tenggara bagi mempelajari mengenai pokok buluh dan potensinya jika ia dikomersialkan secara serius.

"Selama tiga tahun saya mendalami semua aspek mengenai tumbuhan itu termasuk penanaman, pembuatan dan juga cara mengawet buluh agar memiliki daya ketahanan yang tinggi," katanya.

Sejurus pulang ke tanah air pada pertengahan tahun lalu, beliau membangunkan Istana Bambu dengan memfokuskan kepada projek pembuatan perabot diikuti dengan pembinaan resort dan pelbagai bangunan kediaman.

Mengulas mengenai persaingan, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut berkata, masalah utama yang dihadapinya ialah tanggapan umum terhadap produk keluarannya.

"Masyarakat menganggap produk berasaskan buluh tidak dapat bertahan lama dan kurang nilai komersial berbanding perabot yang dibuat daripada kayu.

"Tanggapan itu sebenarnya tidak benar kerana menerusi penyelidikan dan pembangunan syarikat selama ini, buluh memiliki daya ketahanan sehingga lebih 50 tahun selepas diawet, malah ia lebih cantik dan murah," katanya.

Selain itu, Mior Shariman berkata, syarikatnya yang terletak di dalam sebuah perkampungan buluh di sini telah menerima 12 tempahan melibatkan pembinaan rumah berasaskan buluh dan 80 buah gazebo untuk pasaran tempatan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai nilai kontrak berkenaan.


Sumber : Kosmo!
Perkampungan Buluh siap 2011



Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Perkampungan Buluh yang membabitkan kos pembangunan berjumlah RM2.6 juta oleh Istana Bambu Sdn. Bhd. ( Istana Bambu ), dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mior Shariman Moksin berkata, ketika ini projek yang terletak di Hulu Klang itu telah siap kira-kira 50 peratus.

"Perkampungan Buluh merupakan sebuah konsep pembangunan kampung yang lengkap dengan menggunakan buluh sebagai bahan binaan yang utama.

"Konsep pembangunan ini bertujuan meningkatkan martabat industri buluh tempatan sebagai industri yang berdaya saing serta berperanan sebagai pusat sehenti industri buluh tempatan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sehingga kini, Istana Bambu telah siap membangunkan sekolah buluh, pusat pengawetan, pusat pembangunan rangkaian buluh, bilik pameran, restoran dan surau buluh.

"Ketika ini, kami sedang menjalankan pembangunan dewan seminar, asrama pekerja dan pelajar serta pejabat buluh untuk disewakan kepada mereka yang berminat," jelasnya.

Pembangunan Perkampungan Buluh itu membabitkan sebanyak 28 orang tenaga kerja di mana 60 peratus merupakan pekerja dari Indonesia dan Thailand.

Bakinya pula merupakan tenaga kerja tempatan yang terdiri daripada pekerja dan pelajar yang mengikuti latihan pembelajaran buluh di situ.

Mior Shariman berkata, sehingga kini pihaknya telah memberikan latihan dan pendedahan kepada 60 peserta berhubung keusahawanan buluh.

"Daripada jumlah itu, 90 peratus terdiri daripada pelajar universiti tempatan, pelajar praktikal dan individu yang mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan buluh," katanya yang memberitahu 10 peratus lagi individu daripada negara asing.

Dalam pada itu, beliau berkata, Istana Buluh telah mendapat kelulusan dan bantuan daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia untuk mengusahakan plot tanaman beberapa spesies buluh diimport yang memiliki nilai komersial.

Antara spesies yang dimaksudkan ialah buluh hitam, buluh tutul dan buluh cendani.

Sumber : Kosmo!