Sunday, June 13, 2010


Mior tawan projek buluh RM14.6 juta

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Siapa sangka pokok buluh di negara ini berpotensi dan dapat memberikan pendapatan lumayan jika diusahakan secara komersial.

Bagi Mior Shariman Moksin, ia bukan sekadar pokok biasa tetapi ia memiliki keistimewaan yang mampu menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya dalam industri tersebut.

Ini dibuktikan dengan kemampuan syarikatnya, Istana Bambu Sdn. Bhd. (Istana Bambu) yang sedang membangunkan tiga buah resort dan enam buah restoran berasaskan buluh yang bernilai RM14.6 juta.

Lebih menarik lagi satu daripada resort berkenaan terletak di Narathiwat, Thailand.

Istana Bambu turut terlibat dalam pengeluaran perabot, kraf tangan dan pembangunan kediaman berasaskan buluh.

Antara perabot yang dihasilkan ialah set sofa, meja makan, almari pakaian, katil dan bilik tidur dengan rekaan moden kontemporari dan Eropah.

"Jualan bagi perabot buluh kami turut mendapat sambutan yang menggalakkan dan untuk tempoh suku pertama tahun ini, syarikat telah berjaya mencatat jualan sebanyak RM2.1 juta untuk pasaran tempatan dan eksport ke Perancis," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Mengimbau sejarah penglibatan Mior Shariman di dalam perniagaan tersebut, beliau sanggup menjual salah sebuah resortnya di Port Dickson, Negeri Sembilan tiga tahun lalu untuk berhijrah ke beberapa negara di Asia Tenggara bagi mempelajari mengenai pokok buluh dan potensinya jika ia dikomersialkan secara serius.

"Selama tiga tahun saya mendalami semua aspek mengenai tumbuhan itu termasuk penanaman, pembuatan dan juga cara mengawet buluh agar memiliki daya ketahanan yang tinggi," katanya.

Sejurus pulang ke tanah air pada pertengahan tahun lalu, beliau membangunkan Istana Bambu dengan memfokuskan kepada projek pembuatan perabot diikuti dengan pembinaan resort dan pelbagai bangunan kediaman.

Mengulas mengenai persaingan, beliau yang juga Ketua Pegawai Eksekutif syarikat tersebut berkata, masalah utama yang dihadapinya ialah tanggapan umum terhadap produk keluarannya.

"Masyarakat menganggap produk berasaskan buluh tidak dapat bertahan lama dan kurang nilai komersial berbanding perabot yang dibuat daripada kayu.

"Tanggapan itu sebenarnya tidak benar kerana menerusi penyelidikan dan pembangunan syarikat selama ini, buluh memiliki daya ketahanan sehingga lebih 50 tahun selepas diawet, malah ia lebih cantik dan murah," katanya.

Selain itu, Mior Shariman berkata, syarikatnya yang terletak di dalam sebuah perkampungan buluh di sini telah menerima 12 tempahan melibatkan pembinaan rumah berasaskan buluh dan 80 buah gazebo untuk pasaran tempatan.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut mengenai nilai kontrak berkenaan.


Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment