Sunday, June 13, 2010

Perkampungan Buluh siap 2011



Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my


KUALA LUMPUR - Perkampungan Buluh yang membabitkan kos pembangunan berjumlah RM2.6 juta oleh Istana Bambu Sdn. Bhd. ( Istana Bambu ), dijangka siap sepenuhnya menjelang suku pertama tahun hadapan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mior Shariman Moksin berkata, ketika ini projek yang terletak di Hulu Klang itu telah siap kira-kira 50 peratus.

"Perkampungan Buluh merupakan sebuah konsep pembangunan kampung yang lengkap dengan menggunakan buluh sebagai bahan binaan yang utama.

"Konsep pembangunan ini bertujuan meningkatkan martabat industri buluh tempatan sebagai industri yang berdaya saing serta berperanan sebagai pusat sehenti industri buluh tempatan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Sehingga kini, Istana Bambu telah siap membangunkan sekolah buluh, pusat pengawetan, pusat pembangunan rangkaian buluh, bilik pameran, restoran dan surau buluh.

"Ketika ini, kami sedang menjalankan pembangunan dewan seminar, asrama pekerja dan pelajar serta pejabat buluh untuk disewakan kepada mereka yang berminat," jelasnya.

Pembangunan Perkampungan Buluh itu membabitkan sebanyak 28 orang tenaga kerja di mana 60 peratus merupakan pekerja dari Indonesia dan Thailand.

Bakinya pula merupakan tenaga kerja tempatan yang terdiri daripada pekerja dan pelajar yang mengikuti latihan pembelajaran buluh di situ.

Mior Shariman berkata, sehingga kini pihaknya telah memberikan latihan dan pendedahan kepada 60 peserta berhubung keusahawanan buluh.

"Daripada jumlah itu, 90 peratus terdiri daripada pelajar universiti tempatan, pelajar praktikal dan individu yang mahu menceburkan diri dalam bidang keusahawanan buluh," katanya yang memberitahu 10 peratus lagi individu daripada negara asing.

Dalam pada itu, beliau berkata, Istana Buluh telah mendapat kelulusan dan bantuan daripada Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia untuk mengusahakan plot tanaman beberapa spesies buluh diimport yang memiliki nilai komersial.

Antara spesies yang dimaksudkan ialah buluh hitam, buluh tutul dan buluh cendani.

Sumber : Kosmo!


2 comments:

  1. Kencing lebih Mamat ni..........ABOK TARAK

    ReplyDelete
  2. indonesia punya buluh ni.. cit

    ReplyDelete