Monday, June 14, 2010

Siswazah raih RM40,000 sebulan

Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.azde@kosmo.com.my


SHAH ALAM - Bukan mudah menjalankan perniagaan selepas tamat pengajian di universiti namun pemilik perniagaan coklat, Nazirah Mohd. Noor kini mampu tersenyum setelah meraih jualan sehingga RM40,000 sebulan.

Nazirah, 33, yang memiliki butik Chocolates Circle di Shah Alam City Centre Mall di sini menjelaskan, minat dan disiplin tinggi penting bagi memastikan usahawan siswazah berjaya dalam perniagaan.

"Saya berpegang kepada prinsip 'cuba dan gagal' dalam mengusahakan perniagaan. Saya akan cuba mencari jalan bagi menyelesaikan setiap masalah operasi yang timbul," kata graduan jurusan pentadbiran perniagaan dari Universiti Utara Malaysia itu.

Butik yang beroperasi sejak Ogos 2005 itu digerakkan menerusi pinjaman RM100,000 daripada Majlis Amanah Rakyat (Mara). Bagaimanapun ia habis dibayar dalam tempoh tiga tahun.

Kata Nazirah, idea untuk mengusahakan perniagaan produk coklat itu tercetus apabila beliau terkandas ketika menunggu pesawat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 2003.

"Setelah mendapat idea, saya menjalankan kajian mengenai produk dan industri coklat, struktur demografi Shah Alam serta kecenderungan pasaran dan permintaan pengguna," jelasnya.

Premis yang diusahakan Nazirah hanya berukuran 21 meter persegi tetapi ia mempunyai lebih 15 jenama produk coklat jenama antarabangsa dan tempatan.

Sebanyak 80 peratus daripada produk yang dijualnya adalah produk import dari pelbagai negara.

Chocolates Circle menyediakan hampir 500 jenis perisa coklat dan ia dijual dengan harga bermula RM1 sehingga RM79.

"Sebanyak 70 peratus pelanggan kami terdiri daripada syarikat-syarikat korporat dan agensi kerajaan yang menempah coklat sebagai hadiah atau cenderahati.

"Bakinya membabitkan pemberian hadiah menggantikan bunga telur pada majlis perkahwinan masyarakat Melayu," jelasnya.

Pada tahun pertama beroperasi, Chocolates Circle mampu meraih pendapatan jualan sekitar RM20,000 sebulan dan meningkat kepada hampir RM40,000 sebulan.

"Jualan luar biasa lazimnya dicatatkan pada musim-musim perayaan atau pada sambutan-sambutan khusus.

"Catatan tertinggi jualan ialah kira-kira RM49,000 dan sasaran pada tahun ini ialah cuba mengekalkan pendapatan jualan sekitar RM50,000 sebulan," katanya.


Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment