Monday, June 21, 2010

Vita Cat halal untuk kucing


Oleh SHAWKATH AZDE
shawkath.ashraf@kosmo.com.my

KUALA LUMPUR - Produk halal bukan terhad kepada kegunaan harian pengguna tetapi ia cukup meluas sehingga membabitkan haiwan peliharaan khususnya kucing dalam aspek pengambilan makanan dan minuman haiwan berkenaan.


Jika perkara ini dipandang remeh, kesannya terhadap si pemelihara haiwan berkenaan amat besar terutamanya dalam aspek hukum halal dan haram.


Mengatasi kebimbangan masyarakat terhadap permasalahan tersebut, seorang usahawan telah membuat kajian selama dua tahun dalam bidang berkenaan dan telah berjaya membangunkan produk makanan kucing halal yang dikenali sebagai Vita Cat.


Ketua Bahagian Pembangunan Perniagaan Edaran Vita Cat Sdn. Bhd. (Edaran Vita), Halim Baba berkata, pendekatan halal diberikan kepada produknya khusus dalam penggunaan bahan mentah untuk menghasilkan makanan haiwan berkenaan.


Bahan mentah yang digunakan syarikatnya ialah nasi, ikan kembung, akar pokok kucing dan minyak Omega 3 dari telur ayam.


“Kebanyakan produk import makanan kucing berada di pasaran tempatan diimport dari Thailand.


“Malah ada jenama terkenal bahan makanan itu yang dibawa masuk dari negara jiran itu menggunakan perut khinzir dalam penghasilannya namun ia tidak dinyatakan secara jelas pada pembungkusan produk tersebut,“ dakwanya.


Beliau berkata demikian ketika ditemui Kosmo! pada Ekspo Beli Barangan Malaysia yang bertempat di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini baru-baru ini.


Gerai pameran Edaran Vita Cat menjadi tumpuan pada hari perasmian ekspo berkenaan ekoran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah membeli seekor kucing parsi comel yang berusia tiga bulan.


Selain itu, Halim berkata, produk makanan haiwan peliharaan halal dijangka mendapat permintaan yang tinggi seiring dengan potensi industri berkenaan yang mana nilai importnya dianggarkan bernilai RM180 juta setahun.

Mengulas lanjut, beliau menerangkan, Edaran Vita Cat ditubuhkan di Kedah pada tahun 2006 dengan memiliki sebuah kilang yang memiliki kapasiti pengeluaran sehingga tiga tan sehari.


``Kami mula menghasilkan produk dengan jenama Vita Cat secara komersial pada tahun 2008 dalam bentuk palet dan dijual pada harga RM5.99 untuk pek 500 gram.


``Buat permulaan, produk kami dipasarkan di negeri-negeri utara Malaysia dan kini ia telah diperluas ke seluruh negara,'' jelasnya sambil menambah Vita Cat dipasarkan melalui beberapa pasar raya terkemuka di seluruh negara.


Bermula awal tahun ini, Edaran Vita Cat telah memperkenalkan pek baru lebih besar iaitu 1.5 kilogram yang ditawarkan pada harga RM13.99 dan juga makanan kucing dalam tin pada harga RM3.99 setin.

Produk berkenaan telah berjaya menembusi pasaran antarabangsa ke Indonesia, India, Brunei dan Dubai.

Selain itu, syarikat turut terlibat dalam bidang penjualan pelbagai baka kucing dan ia boleh didapati di tiga buah kedainya yang terletak di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor, Jalan Stadium, Alor Setar, Kedah dan di Jalan Sekolah, Kangar, Perlis.


Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment