Sunday, August 29, 2010

Kotak hiasan korporat eksklusif


KUALA LUMPUR - Se
rama Corporation Sdn. Bhd. (Serama Corporation), entiti perniagaan yang mempromosikan ayam serama sebagai ikon negara kini menawarkan rangkaian kotak hiasan korporat dengan ciri-ciri kesenian yang eksklusif.

Rangkaian produk yang dipromosikan di bawah jenama Serama Malaysia itu merupakan kotak cenderahati pelbagai rupa yang dihasilkan menerusi seni ukiran tangan.


Pengarah Urusan Serama Corporation, Ahmad Fauzi Mohamed berkata, setiap kotak yang dihasilkan itu mempunyai cerita sejarah dan seni ukiran yang berbeza mengikut kehendak pelanggan.


"Setiap kotak hiasan akan memiliki kira-kira 70 peratus daripada hasil seni ukirannya dan Serama Corporation akan mereka bentuk kotak tersebut terlebih dahulu sebelum dihantar ke Indonesia untuk proses pengilangan.


"Setiap aspek dalam kotak hiasan akan memiliki ciri-ciri tradisional tersendiri sama ada melalui reka bentuk ukiran tradisional atau moden seperti songket, batik, biji tamar, jewel of samara, royal heritage dan sebagainya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Kraf Serama Malaysia di sini baru-baru ini.


Buat masa ini, majoriti pelanggannya terdiri daripada korporat, peminat seni tempatan dan antarabangsa serta pengunjung negara luar.

Produk Serama Malaysia turut menerima tempahan daripada pelanggan dari negara Jepun, Singapura dan juga Dubai.


Mengulas lanjut mengenai perniagaan kotak hiasan dan cenderahati Serama Malaysia, Ahmad Fauzi berkata, ia merupakan satu cabang perniagaan yang agak baru bagi Serama Coroporation.

"Kami mula mengeluarkan kotak hiasan eksklusif dan cenderahati ini pada September lalu di cawangan Perbadanan Kraf Tangan Malaysia dan kemudiannya membuka sebuah Galeri Kraf Serama Malaysia di sini," katanya.


Galeri Kraf Serama Malaysia merupakan butik pameran Serama Corporation yang mempamerkan kira-kira 250 jenis produk dan kotak hiasan unik dan eksklusif yang mana ia dihasilkan melalui 13 motif rekaan serta 10 rekaan batik.


Produk berkenaan ditawarkan pada harga di antara RM50 sehingga RM12,500 setiap satu.


Berhubung sambutan terhadap kotak eksklusif Serama Malaysia, Ahmad Fauzi berkata, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan sejak diperkenalkan di pasaran.


"Kami menerima kira-kira 20 pelanggan setiap bulan dan ada kalanya terpaksa menunda tempahan ke tarikh lain disebabkan kepadatan jadual pengeluaran.


"Setiap tempahan mengambil masa di antara 30 sehingga 45 hari untuk disiapkan kerana ia membabitkan seni ukiran tangan," katanya yang menggunakan khidmat 18 tukang ukir untuk pengeluaran.


Serama Corporation telah melabur sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan produk yang mengambil masa selama enam bulan serta tambahan RM100,000 untuk peralatan ukiran.

Syarikat turut memperkenalkan sekurang-kurangnya lima rekaan baru setiap bulan dan mampu meraih pendapatan di antara RM100,000 sehingga RM200,000 setiap bulan menerusi dua galerinya.

Sumber : Kosmo!

No comments:

Post a Comment