Tuesday, September 28, 2010

Ayam Serama Jana Pendapatan

KUALA LUMPUR - Siapa sangka ayam Serama yang selama ini dianggap sekadar untuk menyertai pertandingan mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara komersial.

Bagi Ahmad Fauzi Mohamed, spesies burung yang memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri itu telah menjadikan beliau digelar sebagai usahawan ayam Serama Malaysia melalui syarikat yang diusahakannya, Kedai Serama Malaysia di Ampang Water Front, Ampang dekat sini.

Melaluinya, beliau yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak dua tahun lalu dengan bermodalkan kira-kira RM200,000 kini mampu meraih hasil jualan ayam Serama di antara RM30,000 sehingga RM40,000 sebulan.

Turut menjana pendapatan syarikat ialah segmen penjualan peralatan dan aksesori ayam Serama termasuk ubat-ubatan dan makanannya yang dianggarkan bernilai sehingga RM15,000 setiap bulan.

Lebih menarik lagi, daya tarikan utama perniagaannya itu ialah beliau turut menternak ayam Serama di dalam kedainya.

"Kami memiliki sebanyak 500 ekor ayam Serama (di Kedai Serama Malaysia) yang meliputi anak Serama, Serama remaja dan Serama dewasa," katanya yang merupakan Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn. Bhd. ( Serama Corporation).

Kedai Serama Malaysia merupakan salah satu cabang perniagaan Serama Corporation.

Berhubung tawaran penjualan ayam Serama, Ahmad Fauzi berkata, bagi kategori anak ayam Serama ia ditawarkan pada harga RM250 sehingga RM350 sepasang manakala bagi kategori remaja pula harganya di antara RM800 sehingga RM1,500 seekor.

Untuk kategori dewasa pula, harga permulaan adalah serendah RM1,000 seekor dan mampu mencecah sehingga RM40,000 seekor.


Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, syarikatnya turut mengeksport ayam Serama dan telur ayam Serama Malaysia ke beberapa buah negara antaranya Kepulauan Maldives, negara-negara Arab Bersekutu (UAE), Belanda, Korea, Taiwan dan China.

No comments:

Post a Comment