Sunday, August 29, 2010

Hamper Hari Raya Secret Garden serendah RM15

KUALA LUMPUR - Anda mahukan sesuatu kelainan dalam pemberian hamper bersempena dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini?

Jika benar, The Secret Garden The Shop yang terletak di Ara Damansara di sini mungkin memenuhi keinginan anda itu kerana premis tersebut menawarkan rangkaian hamper dan koleksi hadiah eksklusif berupa produk kecantikan Secret Garden.

Pengarah Urusan The Secret of Secret Garden Sdn. Bhd. (Secret Garden), Mohammad Razin Mohamat Noor berkata, tawaran terbaru itu disasarkan kepada individu dan juga syarikat korporat.

"Rangkaian hamper dan koleksi hadiah Hari Raya Aidilfitri ini ditawarkan pada harga antara RM15 sehingga RM350 setiap set.

"Setiap set hadiah akan dibungkus bersama rangkaian produk penjagaan diri Secret Garden bersama barangan lain seperti buah kurma dan biskut," katanya pada sidang akhbar selepas majlis pelancaran Secret Garden The Shop di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, hamper dan hadiah eksklusif turut disediakan bagi majlis perayaan, majlis perkahwinan, majlis hari jadi dan lain-lain berdasarkan permintaan pelanggan.

Berhubung sasaran jualan produk hamper dan hadiah eksklusif Secret Garden, Mohammad Razin mengunjurkan jualan di antara RM200,000 dan RM300,000 sepanjang bulan Ramadan ini.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan pihaknya sedia bekerjasama dengan pemilik perniagaan atau usahawan dalam menjalinkan usaha sama untuk pemasaran barangan Secret Garden.

Katanya, usahawan hanya memerlukan modal serendah RM500 untuk memulakan perniagaan tersebut.

Sumber: Kosmo!

AF Creative tawar khidmat penjenamaan, pembungkusan

KUALA LUMPUR - Reka bentuk dan corak pembungkusan sesuatu produk atau barangan memainkan peranan penting dalam memastikan produk berkenaan mendapat tempat dalam pasaran domestik dan antarabangsa.

Menyedari kepentingan aspek itu, Pengasas AF Creative Resources (AF Creative), Amir Fauzi Hod telah menubuhkan sebuah entiti perniagaan yang menawarkan khidmat reka bentuk produk khas kepada golongan pengusaha kecil dan sederhana (PKS) di negara ini pada kadar mampu milik.

Beliau menerusi syarikatnya, telah menghasilkan lebih 100 jenis reka bentuk produk pembungkusan barangan untuk setiap peringkat perniagaan termasuk konglomerat sehingga ke usahawan kecil-kecilan.

"Penjenamaan dan pembungkusan produk adalah penting bagi PKS kerana ia memainkan peranan secara langsung dalam meningkatkan saluran pemasaran agar lebih efektif dan diterima pasaran.

"Malah pembungkusan yang menarik juga akan meningkatkan keyakinan seseorang pembeli terhadap sesuatu produk itu," katanya yang juga merupakan Pengarah Kreatif AF Creative kepada Kosmo! baru-baru ini.

Berhubung dengan kesedaran PKS terhadap kepentingan kualiti pembungkusan, Amir Fauzi berkata, tahap kesedaran mengenai perkara di kalangan pengusaha PKS masih rendah.

"Antara punca yang menyebabkan perkara ini terjadi ialah pengusaha itu berasa kurang yakin atau kurang memahami kepentingan sesuatu pembungkusan.

"Selain itu, ada juga pengusaha yang tidak tahu cara untuk mendapatkan pembungkusan yang baik dan beranggapan ia melibatkan kos yang tinggi," jelasnya.

Bagi membantu pengusaha terbabit, AF Creative hanya mengenakan bayaran serendah RM1,000 bagi perkhidmatan penghasilan pembungkusan yang meliputi khidmat nasihat pemasaran, ciptaan logo produk, reka bentuk pembungkusan produk dan fotografi.

Selain itu, syarikat itu turut menawarkan khidmat percetakan pembungkusan dan pengiklanan produk berdasarkan keperluan pelanggan.

Sumber: Kosmo!

Ikan marin jana sumber pendapatan


SHAH ALAM - Perniagaan hiasan hidupan marin bukan sahaja berpotensi malah ia menjanjikan sumber pendapatan yang menarik iaitu di antara RM10,000 sehingga RM15,000 sebulan.

Disebabkan faktor tersebut, Zarifah Abdul Aziz yang sebelum ini berkecimpung dalam perniagaan menjual ikan-ikan hiasan lebih daripada satu dekad lalu beralih arah kepada cabang perniagaan tersebut sejak beberapa tahun lalu kerana permintaan terhadap ikan hiasan marin dan karang semakin bertambah.

Lebih menarik lagi, beliau turut menawarkan khidmat tempahan set akuarium lengkap untuk hidupan marin, landskap taman dan akua marin, bagaimanapun perniagaan terhadap pelbagai ikan hiasan yang diterokainya sebelum ini tidak dipinggirkan.

"Permintaan terhadap hidupan ikan marin dan karang semakin meningkat.

"Disebabkan faktor tersebut, kami mengalihkan portfolio perniagaan kami kepada hidupan marin iaitu hampir 80 peratus dan bakinya pula untuk cabang perniagaan ikan hiasan," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Menjawab pertanyaan mengenai perniagaan tersebut melibatkan kos yang tinggi, Zarifah berkata, ia bergantung kepada kebijaksanaan seseorang itu menguruskan minatnya.

Sumber: Kosmo!

Kotak hiasan korporat eksklusif


KUALA LUMPUR - Se
rama Corporation Sdn. Bhd. (Serama Corporation), entiti perniagaan yang mempromosikan ayam serama sebagai ikon negara kini menawarkan rangkaian kotak hiasan korporat dengan ciri-ciri kesenian yang eksklusif.

Rangkaian produk yang dipromosikan di bawah jenama Serama Malaysia itu merupakan kotak cenderahati pelbagai rupa yang dihasilkan menerusi seni ukiran tangan.


Pengarah Urusan Serama Corporation, Ahmad Fauzi Mohamed berkata, setiap kotak yang dihasilkan itu mempunyai cerita sejarah dan seni ukiran yang berbeza mengikut kehendak pelanggan.


"Setiap kotak hiasan akan memiliki kira-kira 70 peratus daripada hasil seni ukirannya dan Serama Corporation akan mereka bentuk kotak tersebut terlebih dahulu sebelum dihantar ke Indonesia untuk proses pengilangan.


"Setiap aspek dalam kotak hiasan akan memiliki ciri-ciri tradisional tersendiri sama ada melalui reka bentuk ukiran tradisional atau moden seperti songket, batik, biji tamar, jewel of samara, royal heritage dan sebagainya," katanya ketika ditemui Kosmo! di Galeri Kraf Serama Malaysia di sini baru-baru ini.


Buat masa ini, majoriti pelanggannya terdiri daripada korporat, peminat seni tempatan dan antarabangsa serta pengunjung negara luar.

Produk Serama Malaysia turut menerima tempahan daripada pelanggan dari negara Jepun, Singapura dan juga Dubai.


Mengulas lanjut mengenai perniagaan kotak hiasan dan cenderahati Serama Malaysia, Ahmad Fauzi berkata, ia merupakan satu cabang perniagaan yang agak baru bagi Serama Coroporation.

"Kami mula mengeluarkan kotak hiasan eksklusif dan cenderahati ini pada September lalu di cawangan Perbadanan Kraf Tangan Malaysia dan kemudiannya membuka sebuah Galeri Kraf Serama Malaysia di sini," katanya.


Galeri Kraf Serama Malaysia merupakan butik pameran Serama Corporation yang mempamerkan kira-kira 250 jenis produk dan kotak hiasan unik dan eksklusif yang mana ia dihasilkan melalui 13 motif rekaan serta 10 rekaan batik.


Produk berkenaan ditawarkan pada harga di antara RM50 sehingga RM12,500 setiap satu.


Berhubung sambutan terhadap kotak eksklusif Serama Malaysia, Ahmad Fauzi berkata, maklum balas yang diterima amat memberangsangkan sejak diperkenalkan di pasaran.


"Kami menerima kira-kira 20 pelanggan setiap bulan dan ada kalanya terpaksa menunda tempahan ke tarikh lain disebabkan kepadatan jadual pengeluaran.


"Setiap tempahan mengambil masa di antara 30 sehingga 45 hari untuk disiapkan kerana ia membabitkan seni ukiran tangan," katanya yang menggunakan khidmat 18 tukang ukir untuk pengeluaran.


Serama Corporation telah melabur sebanyak RM500,000 untuk kerja-kerja penyelidikan dan pembangunan produk yang mengambil masa selama enam bulan serta tambahan RM100,000 untuk peralatan ukiran.

Syarikat turut memperkenalkan sekurang-kurangnya lima rekaan baru setiap bulan dan mampu meraih pendapatan di antara RM100,000 sehingga RM200,000 setiap bulan menerusi dua galerinya.

Sumber : Kosmo!