Tuesday, September 28, 2010

Ayam Serama Jana Pendapatan

KUALA LUMPUR - Siapa sangka ayam Serama yang selama ini dianggap sekadar untuk menyertai pertandingan mampu memberi pulangan lumayan sekiranya diusahakan secara komersial.

Bagi Ahmad Fauzi Mohamed, spesies burung yang memiliki keunikan dan keistimewaan tersendiri itu telah menjadikan beliau digelar sebagai usahawan ayam Serama Malaysia melalui syarikat yang diusahakannya, Kedai Serama Malaysia di Ampang Water Front, Ampang dekat sini.

Melaluinya, beliau yang telah mengusahakan perniagaan tersebut sejak dua tahun lalu dengan bermodalkan kira-kira RM200,000 kini mampu meraih hasil jualan ayam Serama di antara RM30,000 sehingga RM40,000 sebulan.

Turut menjana pendapatan syarikat ialah segmen penjualan peralatan dan aksesori ayam Serama termasuk ubat-ubatan dan makanannya yang dianggarkan bernilai sehingga RM15,000 setiap bulan.

Lebih menarik lagi, daya tarikan utama perniagaannya itu ialah beliau turut menternak ayam Serama di dalam kedainya.

"Kami memiliki sebanyak 500 ekor ayam Serama (di Kedai Serama Malaysia) yang meliputi anak Serama, Serama remaja dan Serama dewasa," katanya yang merupakan Pengarah Urusan Serama Corporation Sdn. Bhd. ( Serama Corporation).

Kedai Serama Malaysia merupakan salah satu cabang perniagaan Serama Corporation.

Berhubung tawaran penjualan ayam Serama, Ahmad Fauzi berkata, bagi kategori anak ayam Serama ia ditawarkan pada harga RM250 sehingga RM350 sepasang manakala bagi kategori remaja pula harganya di antara RM800 sehingga RM1,500 seekor.

Untuk kategori dewasa pula, harga permulaan adalah serendah RM1,000 seekor dan mampu mencecah sehingga RM40,000 seekor.


Mengulas lanjut, Ahmad Fauzi berkata, syarikatnya turut mengeksport ayam Serama dan telur ayam Serama Malaysia ke beberapa buah negara antaranya Kepulauan Maldives, negara-negara Arab Bersekutu (UAE), Belanda, Korea, Taiwan dan China.

RM2 juta untuk pusat servis baru

KUALA LUMPUR - MB Assyst Benz Services Sdn. Bhd. (MB Assyst) bakal melabur kira-kira RM2 juta untuk membuka sebuah lagi pusat servis, alat ganti dan sistem kenderaan Mercedes-Benz di Seri Kembangan dekat sini dalam tempoh dua tahun akan datang.

MB Assyst merupakan syarikat usahawan automotif miliki bumiputera sepenuhnya yang telah memulakan operasi sejak bulan Ogos 2004 dan kemudian diperbadankan menjadi syarikat sendirian berhad pada bulan Mei 2006.

Pusat itu akan menjadi lokasi terbaru MB Assyst untuk melaksanakan kerja-kerja membaiki dan menyelenggara kenderaan penumpang termasuk pemeriksaan komputer unit kawalan elektronik (ECU) model Mercedes-Benz.

Turut dilengkapi di premis baru itu ialah dua set sistem pemeriksaan berkomputer untuk model kenderaan Mercedes-Benz dan BMW serta peralatan lain yang melibatkan tambahan pelaburan sebanyak RM1 juta.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nazri Hood berkata, buat masa ini, syarikatnya sudah memiliki sebuah kedai yang menawarkan perkhidmatan itu yang terletak di Bandar Putra Permai di sini.

Kosmo! difahamkan bengkel sedia ada di Bandar Putra Permai yang dikhaskan untuk membaikpulih dan servis model Mercedes-Benz menerima kira-kira 50 buah kenderaan setiap bulan.

"Pembukaan premis terbaru ini bertujuan untuk kami mengembangkan operasi perniagaan sedia ada serta menampung peningkatan kapasiti kenderaan pelanggan yang diterima di cawangan di Bandar Putra Permai," katanya ketika ditemui Kosmo! di sini baru-baru ini.

Selain pusat servis tersebut, MB Assyst turut memiliki dua pusat membaiki dan servis semua jenis kenderaan penumpang masing-masing di Taman Lestari Perdana, Puchong dan di Bandar Pinggiran Subang di Shah Alam, Selangor.

Mengulas lanjut mengenai pusat terbaru itu, beliau berkata, sebuah akademi akan dibuka ditingkat atas bangunan berkenaan untuk menawarkan kursus membaik pulih model kenderaan Mercedes-Benz kepada pelajar yang berminat.

"Akademi itu dijangka memulakan sesi pengajian apabila bengkel baru itu beroperasi perniagaan dan kursus yang diadakan nanti berbentuk latihan praktikal selama dua tahun bagi setiap sesi," jelasnya.

Kata Nazri, peserta yang ingin menyertai kursus anjuran MB Assyst perlu menjalani temu duga dan mereka yang memiliki kelulusan daripada Institut Kemahiran Mara atau mempunyai latar belakang dalam bidang automobil digalakkan memohon.

Setiap pengambilan peserta kursus dihadkan di antara 20 orang sehingga 50 orang setiap sesi bertujuan memastikan tumpuan diberikan secara optimum.

Sumber: Kosmo!