Monday, June 14, 2010



Produk terbaru Upin dan Ipin

KUALA LUMPUR - Peminat kartun animasi tempatan, Upin dan Ipin kini boleh menambah koleksi peribadi mereka yang berlatar belakangkan watak popular itu dengan mendapatkan produk terbarunya dalam segmen koleksi penjagaan diri.

Wonderland Primary Sdn. Bhd. (Wonderland Primary), telah memperkenalkan empat jenis produk berupa syampu, krim mandian, losyen badan dan pembersihan diri daripada hujung kaki hingga ke kepala itu yang diperkaya dengan daun lidah buaya serta vitamin E.

Produk yang sudah berada di pasaran melalui beberapa pasar raya besar dan farmasi di seluruh negara itu dijual pada harga di antara RM13.90 sehingga RM16.90 seunit.

Menurut Pengurus Pembangunan Perniagaan Wonderland Primary, Leny Herlina, pihaknya telah menandatangani perjanjian dengan Les' Copaque Productions Sdn. Bhd. untuk mendapatkan hak kebenaran menggunakan watak kartun itu dalam semua produk keluarannya pada bulan Disember tahun lalu selama 30 bulan.

"Melalui perjanjian itu, kami dibenarkan untuk mengeluarkan 12 jenis produk lagi dalam segmen berkenaan seperti minyak bayi, cucian tangan dan lain-lain yang berlatar belakang Upin dan Ipin. Ia akan dikeluarkan secara berperingkat-peringkat.

"Kami sangat teruja dengan produk ini kerana ia bakal menerima sambutan menggalakkan daripada peminat kartun tersebut bukan sahaja di kalangan kanak-kanak tetapi juga ibu bapa,'' katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Turut hadir pada sesi temu bual itu ialah Pengurus Komunikasi Pemasaran, Jaszmyn Leong serta Pengurus Jualan dan Perkhidmatan, Joey Lim.

Wonderland Primary yang telah ditubuhkan pada tahun lalu itu mengunjurkan jualan sebanyak RM1.5 juta pada tahun ini.

"Kami optimis terhadap pengembangan syarikat pada tahun kedua nanti kerana keuntungan jualan bakal dijana memandangkan penguasaan pasaran yang semakin meluas,'' jelas beliau.

Leny menerangkan, antara keunikan produk keluaran syarikatnya itu bebas daripada SLES atau SLS dan PARABEN yang mana ia boleh mengakibatkan kegatalan pada kulit dan mata.

Mengulas lanjut mengenai rangkaian pemasarannya, beliau mengalu-alukan penglibatan pengedar utama dan runcit untuk mempromosikan produk ini bagi meluaskan lagi rangkaian pasaran sedia adanya.

No comments:

Post a Comment